Sabtu, 14 September 2013

10 Pelakon Bollywood Paling Kaya


Industri perfileman Bollywood ada pasang surutnya. Ia mungkin amat popular di era 60-an dan 70-an, tetapi jatuh di era 80-an dan awal 90-an. Tidak lama kemudian, ia kembali mencetus fenomena baru pada pengakhiran 90-an dan awal milenium dengan kemunculan artis-artis hebat seperti Khan Bertiga (Shahrukh, Aamir dan Salman), Deol Bersaudara (Sunny dan Bobby), Adik-beradik Kapoor (Karisma dan Kareena) waris-waris keturunan pelakon veteran seperti Abhishek Bachchan, Hrithik Roshan dan Sonam Kapoor, dan wajah-wajah baru yang menghiasi layar perak. Dan kemudian ia mengalami sedikit kejatuhan semula pada pengakhiran dekad 2000.


10 Pelakon Bollywood Paling Kaya
Jatuh atau tidak, Bollywood mempunyai jutaan pengikutnya sendiri dan para peminat yang setia bersama para penghibur ini tetap juga setia menonton filem-filem mereka dan mengambil tahu perkembangan industri perfileman Bollywood. Kerana itulah, apabila senarai sepuluh artis paling kaya di Bollywood dikeluarkan, hampir semuanya melibatkan pelakon-pelakon lama yang sudah berkecimpung lebih 10 tahun dalam industri ini.
10 artis terkaya Bollywood pada tahun 2013 adalah seperti berikut:
Sanjay Dutt
Anak kepada pelakon veteran Sunil Dut dan Nargis ini mungkin berada di penjara atas penglibatan tidak langsungnya dalam kes pengeboman di Mumbai pada tahun 1993, tapi Sanjay merupakan antara jumlah kecil para pelakon era 80an yang masih mampu memegang peranan utama dalam filem.

Malah, sekalipun dia kini dipenjarakan, produksi filemnya terus bergerak di bawah pengurusan isterinya, Manyata dan asetnya yang bernilai AS$10 juta (RM33 juta) itu tidak ke mana.
Ranbir Kapoor
Sebagai satu-satunya bintang baru dalam senarai (bermula dengan "Saawariya" pada tahun 2007), anak kepada pelakon Rishi Kapoor dan Neetu Singh ini turut dinamakan sebagai 'bintang paling bernilai generasi ini' oleh The Economic Times.

Nilai kekayaan pelakon "Yeh Jawaani Hai Deewani" ini? AS$30 juta (RM98 juta).
Hrithik Roshan
Antara pelakon terkacak Bollywood, anak kepada pengarah filem Rakesh Roshan dan anak saudara kepada komposer Rajesh Roshan ini mula berlakon sejak masih kanak-kanak lagi, tapi hanya menjadi kegilaan ramai apabila dia muncul dalam "Kaho Na... Pyaar Hai" pada tahun 2000 sebagai lelaki dewasa.

Hampir kebanyakan filem Hrithik seperti "Krrish" (2006), "Koi Mil Gaya" (2003), "Dhoom" (2006) dan "Jodha Akbar" (2008) mendapat sambutan hangat di pawagam dan menjadikan Hrithik antara pelakon yang paling kaya di Bollywood dengan nilai bersih AS$30 juta (RM98 juta).
Ajay Devgan
Dia mungkin bukan anak pelakon terkenal atau pengarah tersohor, tapi Ajay mewarisi bakat dalam filem-filem aksinya dari bapanya Veeru yang juga bekas koreografer aksi filem. Sepanjang pembabitannya dalam industri perfileman Bollywood selama lebih satu dekad, Ajay sudah banyak menghasilkan filem-filem aksi dan juga komedi, termasuk filem-filem dengan isterinya Kajol seperti "Pyaar To Hona Hi Tha" (1998), "Dil Kya Kare" (1999) dan "Raju Chacha" (2000).

Ajay juga ada mengarahkan filem sendiri, "U, Me Aur Hum" pada tahun 2008, dan menerbitkan beberapa filem lain seperti "Raju Chacha", "U, Me Aur Hum" dan "Son of Sardar" (2012). Nilai bersih asetnya adalah sebanyak AS$30 juta (RM98 juta).
Saif Ali Khan
Dia mungkin bukan antara 'Khan' yang paling berpengaruh, tapi Saif Ali Khan yang juga anak kepada pelakon terkenal lewat 60-an, Sharmila Tagore dan pemain kriket Mansoor Ali Khan ini merupakan satu-satunya pelakon yang pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Komedi Terbaik, Antagonis Terbaik dan Pelakon Pembantu Terbaik.

Saif juga mempunyai syarikat produksinya sendiri, Iluminati Films dan filem pertama terbitannya, "Love Aaj Kal" berjaya mengaut kutipan pecah panggung. Nilai kekayaan suami Kareena Kpoor ini pada tahun 2013 adalah sebanyak AS$40 juta (RM131 juta).
Akshay Kumar
Berbeza dengan artis lain yang kebanyakannya datang dari keluarga seni, Akshay merupakan anak seorang tentera yang memulakan kerjayanya dari bawah. Selepas memasuki Bollywood dengan bakatnya dalam seni bela diri dan menjadi pelakon lagak ngeri, dia ditawarkan membintangi francais filem "Khiladi", sekaligus menaikkan namanya.

Kini, pelakon, ahli seni bela diri, penerbit filem dan suami kepada aktres Twinkle Khanna ini telah melakonkan lebih puluhan filem, rata-ratanya filem aksi, dan mengumpul nilai aset sebanyak AS$65 juta (RM213 juta).
Aamir Khan
Dia terkenal dengan sifat cerewetnya dalam memastikan filem-filem lakonannya merupakan filem bermutu. Tak mengapa kalau sedikit, yang penting berkualiti. Kerana itu hampir semua filem lakonan Aamir berhasil menjadi filem pecah panggung.

Namun, pelakon "3 Idiots" ini lebih veteran berbanding yang lain, kerana dia telah muncul di skrin seawal tahun 1973 dalam filem "Yaadon Ki Baaraat". Malah, selain filem, Aamir juga mempunyai syarikat produksinya sendiri, Aamir Khan Productions, menjadi duta jenama menentang malnutrisi di bawah UNICEF, malah mengacarakan siri televisyen sendiri, "Satyamev Jayte", yang lebih tertumpu kepada isu sosial dan politik.
Semua ini dijumlahkan dan menjadikan nilai aset bersih Aamir sebanyak AS$180 juta (RM590 juta).
Salman Khan
Dia lebih terkenal kerana badan berbanding bakatnya, tetapi dalam masa yang sama Salman merupakan antara pelakon yang paling banyak menerima tawaran filem. Selama 25 tahun pembabitannya dalam dunia lakonan, dia telah berlakon dalam lebih 80 buah filem termasuk filem-filem hitnya, "Dabangg" (2008), "Hum Dil De Chuke Sanam" (1999) dan "Har Dil Jo Pyar Karega" (2000).

Abang kepada Arbaaz dan Sohail Khan ini juga merupakan pemilik syarikat produksi SKBH Productions (Salman Khan Being Human Productions) yang berkolaborasi dengan tabung dana rasminya, Being Human. Dan tidak kisahlah kalau pun dia bakal dibicarakan semula untuk kes langgar lari suatu masa dahulu, Salman mempunyai AS$200 juta (RM656 juta) dalam nilai asetnya!
Amitabh Bachchan
Antara pelakon veteran yang masih relevan sehingga kini, bekas hero Bollywood paling popular lewat 70-an ini sudah melakonkan ratusan buah filem, sama ada berjaya atau tidak. Malah Amitabh boleh berbangga kerana selain filem, dia juga menjadi pilihan utama untuk mengacarakan rancangan televisyen seperti "Kaun Banega Crorepati?" dan "Bigg Boss".

Nilai bersih harta kekayaan Big B ini adalah sebanyak AS$400 juta (RM1,312 juta) dan jika anda kumpulkan sekali dengan pendapatan ahli keluarganya yang lain termasuk isterinya Jaya Bachchan, anaknya Abhishek dan menantunya Aishwarya Rai, keluarga Bachchan merupakan keluarga terkaya di Bollywood.
Shahrukh Khan
Raja filem Bollywood ini tentu sekali berada di tangga teratas dengan jumlah nilai aset bersih sebanyak AS$600 juta (RM1,968 juta). Filem-filem Khan sentiasa mengutip kutipan pecah panggung sama ada menarik atau tidak, dan peminatnya pula berbilion ramainya, menyebabkan hampir semua syarikat mahukan dia sebagai duta produk mereka.

Sementara pelakon lain membuka satu produksi, SRK mempunyai dua produksi, Red Chillies Entertainment, dan juga Dreamz Unlimited yang dikongsi bersama rakan karibnya, Juhi Chawla. Antara filem yang diterbitkannya termasuk "Phir Bhi Dil Hai Hindustani", "Asoka", dan "Chalte Chalte".
Selain itu, SRK juga terlibat dalam beberapa projek televisyen, termasuk drama bersiri "Fauji" di mana dia berlakon sebagai Komandi Abhimanyu Rai. Dia juga pernah menjadi hos "Kaun Banega Crorepati?", "Kya Aap Paanchvi Pass Se Tez Hain" ("Are You Smarter than a Fifth Grader" versi India), dan "Zor Ka Jhatka" ("Wipeout" versi India).
sumber Yahoo

0 comments:

Catat Ulasan