Jumaat, 6 September 2013


Chin Peng


Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menyifatkan cadangan untuk membenarkan kepulangan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke negara ini hanya akan ‘melukakan hati’ rakyat.


Naib Presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin berkata pengkhianatan Chin Peng dan kekejaman komunis sehingga menyebabkan rakyat hidup menderita serta ribuan menjadi korban semasa zaman darurat tidak boleh dilupakan.

“Kita berpendapat bahawa tangan Chin Peng ini berlumuran dengan darah rakyat Malaysia, bukan sahaja Melayu, tetapi Cina, India dan lain-lain.




“Banyak hati yang akan terluka sekiranya kita membawa balik atau membenarkan Chin Peng pulang,” katanya pada sidang media.

Pengerusi DAP Karpal Singh pada Khamis meminta kerajaan supaya membenarkan Chin Peng dan anggota PKM yang dilarang memasuki negara ini untuk pulang ke tanah air dan berkata waris keluarga yang dizalimi pengganas komunis akan memaafkan mereka.

Gesaan Karpal itu dibuat selepas bekas Timbalan Ketua Pengarah Cawangan Khas Yuen Yuet Leng, membuat kenyataan sama seperti dilaporkan media sebelum ini.

Zulkifli berkata sekiranya Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia, bekas pemimpin PKM itu masih perlu dibicarakan atas kesalahan dan pengkhianatannya sebelum ini.

Turut hadir pada sidang media itu Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Menyentuh mengenai isu kenaikan harga petrol dan diesel, Ibrahim berkata kerajaan perlu menimbang untuk membuat potongan gaji pegawai tertinggi kerajaan dari lima sehingga 10 peratus sekiranya ingin mengurangkan perbelanjaan negara.

“Sepatutnya potongan gaji ini dilakukan serentak dengan pengurangan subsidi minyak RON95 sebanyak 20 sen, maka tentu rakyat boleh rasakan inilah tindakan yang betul dan rakyat boleh terima beban yang sedikit ini,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan perlu mengemaskini dan mengurangkan perbelanjaan terhadap aktiviti atau perkara yang tidak penting yang melibatkan peruntukan yang tinggi.

Ibrahim bagaimanapun berkata rakyat perlu memberi peluang dan percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalankan tugas membangunkan negara.

“Pilihan raya baru sahaja selesai, jadi kita perlu beri kerjasama. Dalam pada yang sama kita (Perkasa) memberi kerjasama, kita tetap kekal dengan pendirian akan menjadi kritikal dalam menegur kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan kontroversi Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi yang menggesa Najib supaya meletak jawatan, Ibrahim berkata Perkasa telah memberi amaran keras kepada beliau.

Ibrahim menegaskan kenyataan Irwan adalah bersifat peribadi dan bukan pendirian yang diambil oleh Perkasa.

0 comments:

Catat Ulasan