Kenapa kau merompak bank? Nak buat macam mana dah ketetapan Allah.
Kenapa kau bunuh orang? Dah itu ketentuan Tuhan padaku nak buat macam mana.
Kenapa kau langgar orang yang tengah melintas jalan tu? Aku tak perasan sebab
masa tu dah Allah dah takdirkan aku baca SMS waktu tengah bawak kereta tu.
Harga barang naik adalah ketetapan Allah, harap semua dapat terima takdir ini
dengan redha. Jika anda masih lagi tidak mahu terima, bermakna anda tidak
percaya kepada ketentuan Tuhan dan mahu melawan takdir Allah.
Dipetik daripada artikel Ustaz Fathul Bari di Sinar Harian:
Banyak pelajaran yang boleh dipetik dari hadis yang mulia ini. Pelajaran terpenting adalah akidah; iaitu beriman setiap yang terjadi adalah qadarullah (ketetapan ALLAH). Ini adalah rukun Iman keenam. Tindakan menyalahkan peniaga, kerajaan, pengundi adalah menyalahi akidah suci ini.
Islam melarang keras umatnya berkalau-kalau, contohnya “kalau parti itu memerintah tentu harga barang tidak naik”, kerana ucapan ini membuka pintu syaitan merosak akidah manusia.
Siapa yang mengetahui kecuali ALLAH? Boleh jadi musibah lebih besar terjadi sekiranya hal itu berlaku. Oleh itu Islam mengajar apabila berdepan situasi yang tidak disukai untuk mengucapkan Qaddarallah wama syaa-a fa’al (ALLAH telah menetapkan dan Dia berbuat apa yang dikehendakiNya).
"Kalau parti itu memerintah tentu harga barang tidak naik". Bagaimana pula dengan kenyataan2 yang biasa anda dengar seperti ini:
- Kalau pembangkang menang tentu negara akan bangkrap.
- Kalau pembangkang menang tentu cina akan menguasai negara dan orang melayu akan kena pijak.
- Kalau pembangkang menang tentu agama Islam akan hancur.
Dipetik daripada artikel di Utusan Malaysia pula:
Beberapa faedah dapat dipelajari dari hadis yang mulia ini. Antaranya adalah kita wajib meyakini bahawa naik turun harga sesuatu barang itu berlaku atas ketetapan Allah, kerana Allah adalah pengatur seluruh urusan. Seorang mukmin tidak boleh murka atas ketetapan ini sebaliknya hendaklah mereka menahan diri (bersabar).
So lepas ni kalau apa2 berlaku, harga minyak naik, anak kena culik, suami kena tembak, air kena potong, rumah kena rompak atau apa2 sahaja, jangan marah, bersabar sahaja, terimalah sahajalah takdir anda.
Memang apa yang berlaku itu merupakan qada dan qadar, suatu ketetapan Allah, tapi adakah manusia tidak diberi pilihan untuk berusaha? Adakah apa yang berlaku di dunia ini kita boleh salahkan takdir semata2?
Aku bukan seorang ilmuwan agama, aku juga tidak belajar tinggi sampai ke Madinah dan Jordan, tapi aku masih boleh menggunakan akal dan ilmu aku yang sedikit ini untuk menilai sesuatu dengan waras dan rasional. Sepertimana aku boleh menilai apabila agama dipergunakan dalam perniagaan, aku juga boleh menilai apabila agama dipergunakan untuk menghalalkan apa jua tindakan pemerintah, sebab selama ini dah banyak pun dasar dan tindakan kerajaan yang tak Islamik mana pun. Harap para agamawan, ulama dan mufti dalam kerajaan boleh cerita juga hadis pasal judi, arak, aurat, hiburan, undang2 dan lain2 yang berkaitan kerajaan dan pemerintah yang tidak berapa nak Islamik nih.
Komen Dr. Maza di Facebooknya mengenai isu ini:
Baca juga kisah Imam Nawawi yang pernah ditulis oleh Dr. Maza:
Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.
Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.
Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamba perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).
0 comments:
Catat Ulasan